PEMBELA desak hentikan provokasi berhubung isu kalimah Allah

KUALA LUMPUR, 29 Dis. – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mendesak pemimpin-pemimpin politik, baik dari pihak kerajaan ataupun pembangkang, supaya menghentikan kenyataan serta tuntutan yang tidak bertanggungjawab yang mencabar kedudukan Islam di negara ini.

Perkara ini ditegaskan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh PEMBELA mengenai isu kalimah Allah hari ini.

Menurut Pengerusi PEMBELA, Tuan Hj. Aminuddin Yahaya, tuntutan dan provokasi murahan yang bertujuan meraih keuntungan politik itu adalah sangat tidak bertanggungjawab, kerana mencabar fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan secara tidak langsung mencabar Perlembagaan Persekutuan.

a

Berikut kenyataan penuh PEMBELA berhubung isu kalimah Allah tersebut:

KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM MENGENAI ISU KALIMAH ALLAH

29 Disember 2012 bersamaan 15 Safar 1434

PEMBELA mengulangi penegasan bahawa pertubuhan-pertubuhan Islam yang diwakilinya tidak berminat dengan persaingan mendapatkan sokongan melalui politik kepartian.

PEMBELA juga tidak terpengaruh dengan sebarang sikap dan tindakan partisan para pemimpin negara, baik di pihak kerajaan ataupun di pihak pembangkang yang ghairah memperjuangkan dasar dan manifesto masing-masing, khususnya di dalam mengemudi kehangatan bahang Pilihanraya Umum ke-13.

Umat Islam menjadi semakin gusar, khususnya apabila saban hari menyaksikan kebiadaban para pemimpin politik yang secara terang-terangan mencabar kedudukan Islam bukan sahaja disebabkan kejahilan mereka, tetapi provokasi yang disengajakan untuk mendapat publisiti murahan dan meraih keuntungan politik yang bersifat sementara.

PEMBELA bertegas bahawa sikap dan tindakan sebegini adalah sangat tidak bertanggungjawab, kerana mencabar fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan secara tidak langsung mencabar Perlembagaan Persekutuan 11(4) yang memperuntukkan undang-undang Negeri dan Persekutuan bagi mengawal dan menghadkan penyebaran doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang Islam. Kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab sebegini harus segera dihentikan.

Lim Guan Eng, selaku Setiausaha Agung DAP dan Loh Sen Kok, selaku Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, serta lain-lain pemimpin politik di setiap lapisan, wajib menghentikan kenyataan serta tuntutan yang tidak bertanggungjawab yang mencabar kedudukan Islam di negara ini.

Lim Guan Eng dalam ‘keghairahan PRU 13’ ingin meraih undi penganut Kristian dengan kenyataan beliau baru-baru ini menyanggah fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan. Perkara ini telah diwartakan termasuk di negeri Pulau Pinang yang mana dipersetujui sendiri sebelum ini oleh Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri.

Adalah satu perkara yang pelik untuk pemimpin parti yang memperjuangkan prinsip sekular dalam manifesto perjuangan DAP secara tiba-tiba membuat kenyataan yang berunsur keagamaan.

Justeru dalam menangani masalah yang timbul dari sikap sebegini, PEMBELA dengan ini:

Bersepakat dengan pertubuhan-pertubuhan Islam dalam mengemukakan kenyataan media serta mendesak pihak berkuasa melakukan penyiasatan kenyataan dan tuntutan kedua-dua Lim Guan Eng dan Loh Sen Kok di bawah Akta Hasutan dan peruntukan-peruntukan undang-undang yang berkaitan, serta mengambil tindakan-tindakan yang perlu mengikut saluran sedia wujud;

Menyeru agar semua pertubuhan-pertubuhan Islam di negara ini menyertai PEMBELA dan rakan-rakan pertubuhan Islam lain di dalam menzahirkan kegusaran dan bantahan terhadap sikap tidak bertanggungjawab para pemimpin politik Muslim dan non-Muslim, tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang, yang membuat kenyataan-kenyataan yang mencabar kedudukan Islam di Malaysia;

Memohon persefahaman dan kerjasama utuh dengan Majlis-majlis Agama Islam Negeri dalam usaha melaksanakan hasil percambahan fikiran strategik dari masa ke semasa, demi mengurangkan pergeseran di kalangan umat Islam dan mendepani salah faham tanggapan terhadap pengunaan kalimah ALLAH serta perkataan-perkataan lain di negara ini di kalangan Muslim dan non-Muslim;

Menyeru umat Islam di dalam bermunajat kepada Allah SWT supaya diberikan taufiq dan hidayahNya untuk mengukuhkan kesatuan hati dan menghadapi mehnah kecelaruan pemikiran di kalangan masyarakat yang menyebabkan kedudukan Islam terus-menerus dicabar dan diganggu-gugat anasir-anasir daripada kalangan non-Muslim dan malah Muslim sendiri.

PEMBELA ingin menegaskan bahawa seruan dan tindakan kami harus dilihat sebagai usaha mengekalkan keharmonian beragama di kalangan masyarakat Malaysia. Dengan menyanggah kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab para pemimpin politik, PEMBELA sebenarnya ingin mengembalikan citra dan keizzahan jati diri Islam sebagai agama Negara, yang telah dicabar dan diganggu-gugat persaingan politik partisan yang tidak bertanggungjawab.

Kekuatan Islam yang diibaratkan “pokok jati” oleh Mahkamah Persekutuan, tidak boleh dibiar tercabar dan diremehkan jika kita mahu rakyat terus menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Bagi pihak PEMBELA
Hj. Aminuddin Yahya
Pengerusi

Pertubuhan-pertubuhan yang bernaung di bawah PEMBELA:
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Pertubuhan Profesional Muslim dan Ukhwah Ummah (PROMUSLIM), Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Institut Kajian Islam dan Strategik (ISSI).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*